JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat tuduhan palsu berjumlah RM47,800 pada lima tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Rajali Mudin, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Rajali didakwa menggunakan dokumen mempunyai butiran matan palsu berjumlah RM35,400 berkaitan aktiviti jabatan yang tidak wujud melalui sebuah syarikat untuk memperdayakan prinsipal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Johor pada November 2015.
Bagi pertuduhan keempat, Rajali didakwa membuat kesalahan sama membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM12,400 melalui sebuah syarikat berlainan antara November hingga Disember 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam bela, Iskandar Shah Ibrahim.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan pada dua haribulan setiap bulan.
Selain itu, tertuduh diarahkan untuk mengarahkan pasportnya diserahkan ke mahkamah sehingga selesai kes.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN