MELAKA: Seorang ahli perniagaan yang memandu sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir di sini semalam.
Dalam operasi bermula pukul 8 malam itu, lelaki berusia 43 tahun berasal dari Puchong, Selangor itu bukan sahaja tidak memiliki lesen memandu, bahkan ujian air kencing terhadapnya turut mendapati positif dadah jenis ganja.
Malah, seorang ibu muda berusia 23 tahun yang menaiki Proton Saga BLM turut dicekup kerana positif Methamphetamine dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Sharif berkata, seramai 32 pengguna jalan raya disaman kerana tidak memiliki lesen memandu, manakala tujuh lagi gagal mempamerkan pelekat P.
Menurutnya, antara kesalahan lain dikesan adalah membabitkan cermin gelap, diikuti kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan penggunaan lampu HID.
“Secara keseluruhan sebanyak 528 buah kenderaan diperiksa pada malam ini dengan 66 diambil tindakan melibatkan 71 saman, selain tiga notis sita, 72 notis diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut dan tujuh lagi notis larangan penggunaan dikeluarkan.
“Bagi pemeriksaan dibawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), enam tangkapan dilakukan melibatkan penyalahgunaan dadah yang membabitkan mereka berusia 23 hingga 43 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut.
Selain JPJ dan AADK, turut serta dalam operasi bersepadu itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
Tambah Muhammad Firdaus, selain dua individu yang positif ganja dan methamphetamine tersebut, tiga lelaki lagi turut positif methamphetamine dan seorang lelaki positif opiat.
Katanya, dua pasangan warganegara Nigeria turut ditahan pihak Imigresen kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah. – UTUSAN