JOHOR BAHRU: Satu kegiatan sindiket Ah Long di sini menyasarkan warga tempatan yang bekerja di Singapura untuk menawarkan pinjaman wang secara dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operandi itu digunakan sindiket berkenaan dengan transaksi antara mereka dan peminjam dilakukan menerusi akaun bank.
“Setelah pinjaman diperoleh dan hutang gagal dilunaskan, sindiket ini akan mencari alamat-alamat tempat tinggal mangsa.
“Sindiket itu seterusnya melakukan khianat dengan menggunakan cat merah untuk menyimbah serta menconteng rumah mangsa bagi tujuan menakutkan selain turut membaling bom botol ‘molotov cocktail’ bagi menyebabkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Malah tambahnya lagi, terdapat mangsa turut dirantai rumahnya dan ditinggalkan nota berbaur ugutan.
Beliau berkata, hasil semakan telefon bimbit yang dirampas mendapati sindiket itu untuk menakutkan peminjam dengan menghantar video serta gambar setelah disimbah cat atau dibaling molotov cocktail.
Menurutnya, siasatan turut mendapati sindiket berkenaan akan menawarkan kerja-kerja khianat kepada para peminjam yang gagal melunaskan pinjaman sekiranya peminjam ingin melupuskan baki hutang.
Terdahulu, Ayob Khan memaklumkan kegiatan Ah Long itu dibongkar susulan penahanan 12 lelaki di sekitar bandar raya ini, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, susulan penahanan 12 lelaki terbabit, polis turut merampas sejumlah barangan dipercayai terlibat dengan sindiket itu termasuk 14 komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenama dan 43 keping pelbagai kad sim.
“Kesemua 12 yang ditahan ini kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 5(2), 29B(1) dan 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951; Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya. – UTUSAN