KUALA LUMPUR: Sebanyak 59 individu termasuk pelajar sekolah menengah ditahan di sebuah kondominium mewah di sekitar ibu negara awal pagi ini selepas terlibat dalam parti liar.
Kesemua mereka berusia 14 sehingga 23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, mereka yang ditahan terdiri 44 lelaki dan 15 wanita yang mana 27 daripada mereka di bawah umur.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki ditahan selepas memiliki 31 pil ekstasi.
“Dalam pada itu, sebanyak 12 lelaki dan empat perempuan dipercayai positif dadah jenis amfetamina dan ketamin,” ujarnya.
Mengulas lanjut, tambah Mohd. Fahmi, dua pelajar kolej dan seorang pelajar sekolah menengah yang ditahan turut positif dadah.
“Semua individu yang ditahan itu, kini direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mereka juga masing-masing dikompaun RM1,000 di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.8) 2020,” katanya.