SEREMBAN: Sebanyak 12 premis perjudian dalam talian yang dikesan beroperasi secara haram sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan hasil makluman awam dan risikan yang mendapati pemilik premis menjalankan aktiviti perjudian secara dalam talian sejak tiga bulan lalu.
“Kami telah kenal pasti 12 premis perniagaan termasuk sebuah rumah dua tingkat yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian online ini.
“Pihak polis telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan memotong bekalan elektrik di premis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu tersebut di sini hari ini.
Menurut Mohd. Said, siasatan mendapati, aktiviti perjudian dalam talian yang dijalankan sindiket kini lebih mudah dengan menjadikan tablet sebagai alat untuk berjudi berbanding mesin-mesin besar sebelum ini.
“Selain itu, sindiket perjudian turut menyediakan sistem top up yang dijual kepada pelanggan untuk berjudi. Kemusykilan kita, masih ada pelanggan (berjudi) dan diharap dengan operasi pemotongan bekalan elektrik ini dapat membanteras sekali gus melumpuhkan aktiviti perjudian secara dalam talian di sekitar Seremban,” katanya.
Jelas Mohd. Said, operasi bersepadu pemotongan premis judi atas talian itu melibatkan enam premis di bawah Balai Polis Seremban 2, Balai Polis Campbell (3) dan Balai Polis Rahang (3).
“Di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka, sekiranya pemilik premis mahu membuat penyambungan semula (elektrik), mereka boleh mendapat kebenaran daripada pihak polis dalam tempoh 30 hari dan pengesahan tiada lagi aktiviti perjudian dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis akan melakukan pembanterasan aktiviti perjudian secara berterusan walaupun kegiatan haram tersebut masih terkawal di Seremban selain bantuan masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan. – UTUSAN