SPRM tahan 47 individu termasuk pengarah sebuah syarikat, beku harta RM868,000  - Utusan Malaysia

SPRM tahan 47 individu termasuk pengarah sebuah syarikat, beku harta RM868,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seramai 47 individu termasuk pengarah sebuah syarikat serta menyita dan membekukan harta berjumlah RM868,000 sejak 1 Januari lalu hingga hari ini.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya menerima sebanyak 248 maklumat dan bertindak menahan 47 individu terdiri daripada 15 penjawat awam, 18 kakitangan swasta dan 14 orang awam.

“Daripada jumlah tersebut, kita membuka sebanyak 30 kertas siasatan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah serta membuat tuntutan palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sebanyak 200 beg dan pelekat Jalur Gemilang kepada orang ramai pada Program Kibar Jalur Gemilang di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini hari ini.

Kata beliau, sebanyak empat pertuduhan dibuat iaitu masing-masing dua kes di bawah Seksyen 17b Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.

Dalam pada itu, menurut Shaharom, trend yang melibatkan kes rasuah di negeri ini dilihat sentiasa ada walaupun pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan oleh SPRM negeri untuk mengurangkan statistik kes tersebut.

“Contohnya, pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja kita telah menahan beberapa individu yang terlibat dengan rasuah dan dalam tempoh itu kes berkenaan sentiasa ada dan tidak menunjukkan sebarang pengurangan,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kes melibatkan Seksyen 17(b) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membabitkan tuntutan palsu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN