Sindiket proses, seludup minuman keras tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket proses, seludup minuman keras tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk dua warga Bangladesh yang bergiat aktif dalam kegiatan memproses dan penyeludupan minuman keras ditahan polis dalam tiga serbuan di sekitar Klang, Selangor pada Rabu lalu.

Kesemua suspek berusia 31 hingga 44 tahun itu ditahan dalam Op Methanol oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Turut dirampas, pelbagai minuman keras yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000.

Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 435 kotak mengandungi 10,440 tin minuman keras, sebuah kereta Proton Persona dan van. 

Menurutnya, siasatan lanjut membawa kepada sebuah lagi serbuan di Taman Klang Utara, Selangor serta sebanyak 409 kotak (14,090 botol) minuman keras, dua mesin pengedap penutup botol, cecair alkohol dan beberapa peralatan untuk memproses minuman keras tiruan berjaya dirampas.

Jelasnya lagi, turut ditemukan adalah pelekat setem cukai kastam disyaki palsu.

“Serbuan ketiga dijalankan di Kampung Sungai Pinang, Klang dan dua lelaki warga Bangladesh berusia 32 dan 42 tahun berjaya diberkas. 

“Kita tu turut merampas 141 kotak (3,384 tin) minuman keras pelbagai jenama dan 66 kotak (2,031 botol) minuman keras pelbagai jenama serta sebuah van Toyota Hiace,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, siasatan lanjut mendapati sindiket itu bergiat aktif di sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, dua lelaki tempatan ditahan reman di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara selama tujuh hari bermula semalam dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

“Baki dua suspek Bangladesh ditahan reman selama 14 hari sehingga 9 September depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN