SEGAMAT: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran arak tidak bercukai selepas merampas arak pelbagai jenama bernilai RM1.95 juta dalam satu operasi di Kampung Kadut di sini semalam.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, operasi pukul 7.40 pagi itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Menurut beliau, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Dalam operasi tersebut, polis berjaya merampas 42,672 tin bir pelbagai jenama dan 2,916 botol wiski pelbagai jenama bernilai keseluruhan RM1,953,380.
“Dengan kejayaan ini, polis yakin dapat melumpuhkan sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar Segamat, Johor serta Muadzam dan Kuantan, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Muhammad, sindiket itu menyeludup masuk barangan berkenaan daripada negara jiran dan dipercayai sudah aktif selama setahun.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
“Pihak polis menyeru masyarakat agar dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN