Sindiket guna pengisytiharan palsu untuk seludup arak - Utusan Malaysia

Sindiket guna pengisytiharan palsu untuk seludup arak

ANGGOTA PGA Semenyih memeriksa sebuah lori yang membawa arak seludup di Kilometer 19.2 Klang-Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Memperdaya penguat kuasa dengan membuat pengisytiharan palsu bagi menyeludup arak pelbagai jenama.

Namun, modus operandi sindiket tersebut gagal apabila taktik itu berjaya dikesan pasukan polis Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dalam dua serbuan berasingan Khamis lalu di sekitar daerah Klang di sini.

Turut ditahan dalam serbuan bermula pukul 8 hingga 10 malam itu ialah tiga lelaki berusia 17 hingga 39 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, sindiket yang melakukan kegiatan itu telah mengisytiharkan minuman keras yang dibawa sebagai lampin pakai buang dan minyak pelincir bagi mengaburi pihak berkuasa. 

“Malah, bagi mengelakkan kegiatan dikesan, sindiket bertindak menutup belakang lori dengan tulisan sebuah pasar raya. 

“Hasil pemeriksaan terhadap dua lori telah merampas 733 kotak minuman keras seludup pelbagai jenama yang dianggarkan keseluruhan bernilai lebih RM1.36 juta termasuk cukai. Kita turut merampas dua buah lori dan beberapa telefon bimbit untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Zulafendy, siasatan awal mendapati arak tersebut dipasarkan di sekitar Klang dan Kuala Lumpur.

“Kita percaya, dengan penangkapan ini, satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai dapat dilumpuhkan. Malah, kita tidak menolak kemungkinan kedua-dua lori tersebut didalangi kumpulan sindiket yang sama berdasarkan modus operandi yang digunakan mereka. 

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Klang dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN