JOHOR BAHRU: Peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan umum dijadikan peluang oleh dua suspek untuk melarikan seutas gelang tangan bernilai RM3,800 di sebuah kedai emas di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram dekat sini semalam.
Kedua-dua suspek itu termasuk seorang wanita memasuki kedai itu kira-kira pukul 4.15 petang dan berpura-pura ingin membeli gelang tangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Ismail Dollah berkata, selepas meninjau-ninjau, suspek kemudian berkenan dengan seutas gelang tangan emas 916 seberat 14 gram dan meminta untuk mencubanya.
“Setelah menerima gelang tangan emas tersebut, suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna biru.
“Mangsa tidak sempat untuk mengambil sebarang tindakan. Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan suspek dipercayai palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ismail berkata, ketika kejadian berlaku, mangsa yang berusia 40 tahun berada di premis berkenaan bersama ibu bapanya yang sudah berusia dan tidak ada pelanggan lain ketika itu.
Katanya, mangsa sukar untuk mengecam wajah suspek kerana memakai pelitup muka malah tidak ada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di premis tersebut.
“Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes ini. Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian 010-4008030,” katanya. – UTUSAN