KUALA NERANG: Seorang peraih ditahan bersama 800 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM8,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tandop Lamdin, Naka di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang juga merupakan peniaga kedai runcit ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari berdasarkan hasil risikan mengenai kegiatannya menjual daun ketum sejak Mac lalu.
Kata beliau, pemeriksaan menemui 160 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum di dalam garaj yang bertutup dengan kanvas berwarna biru di belakang rumah suspek.
“Setiap bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang telah diikat dengan plastik lutsinar seberat 5 kg,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mulkiaman berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit terlibat dalam kegiatan itu sejak dua tahun lalu dan dia memperoleh bekalan daun ketum dari kebun miliknya sendiri seluas satu hektar di kawasan rumah tersebut.
“Suspek juga bertindak sebagai peraih dengan membeli daun ketum daripada penanam ketum di sekitar Naka dan Kampung Lamdin serta penduduk kampung berhampiran kampung itu yang kebanyakannya menanam ketum di kebun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, peniaga itu mampu membekalkan daun ketum antara 400 kg hingga 1,000 kg kepada pelanggannya pada satu masa yang mana kebanyakan pelanggan terdiri daripada orang luar antaranya dari Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.
Katanya, lelaki itu menjalankan aktiviti berkenaan mengikut permintaan kerana mempunyai pelanggan tetap dengan tempat perjumpaan dan masa untuk urusan jual beli dengan pembeli sentiasa berubah bagi mengelak dikesan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama empat tahun atau didenda sehingga RM10,000,” tambahnya. – UTUSAN