KUALA LANGAT: Tindakan seorang lelaki warga Sudan menguruskan kafe dipercayai untuk warga asing membawa padah apabila premis itu disita Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Cawangan Bandar Saujana Putra semalam.
Kafe terletak di kondomonium di Bandar Saujana Putra 21 itu dipercayai menyasarkan pelanggan bukan warganegara termasuk pelajar warga asing sebuah kolej berhampiran kawasan tersebut.
Malah, kafe itu juga menjalankan beroperasi dari petang hingga larut malam dengan dikunjungi pelanggan warga asing.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, operasi bermula pukul 4 petang itu mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak empat bulan lalu.
“Siasatan awal mendapati lelaki warga Sudan ini hanya pekerja dan menguruskan kafe tersebut tetapi tauke sebenar dipercayai warga tempatan.
“Untuk rekod, Jun lalu kita telah mengenakan kompaun terhadap premis ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen tetapi pemilik berdegil dan tetap meneruskannya.
“Kita telah mengambil tindakan segera dengan melakukan sitaan barang-barang kelengkapan shisha, meja, kerusi, monitor komputer, amplifier dan lain-lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut, Amirul Azizan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan di daerah Kuala Langat.
“Selaras dengan arahan kerajaan negeri (Selangor) yang tidak membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di Kuala Langat khususnya.
“MPKL akan mengambil tindakan tegas demi menjaga kesejahteraan peniaga-peniaga warga tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan perniagaan yang melibatkan warga asing boleh menghubungi MPKL melalui talian 03-3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA). – UTUSAN