KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melupuskan sebanyak 359 barang sitaan yang dirampas dari pusat hiburan, perjudian dan snuker dengan nilai RM1.3 juta di pekarangan bangunan penguat kuasa MPK di sini hari ini.
Menurut Yang Dipertuanya (YDP), Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, barangan yang dilupuskan itu melibatkan peralatan sistem audio, permainan video berupa simulator dan peralatan snuker.
Menurutnya, kesemua barang sitaan yang dilupuskan adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya bersama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan bagi tempoh dua tahun bermula 2017.
“Pelaksanaan tindakan sitaan terhadap barang-barang ini dibuat kerana melanggar undang-undang mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 1998 dan 2001) dan Peraturan-peraturan (Permainan Snuker dan Video)(Kawalan dan Penyeliaan)(Selangor) 1998.
“Manakala tindakan pelupusan yang dijalankan juga mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di lokasi pelupusan.
Terdahulu, proses pelupusan turut disertai wakil polis dari IPD Klang Utara dan Selatan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli memberitahu, pihaknya juga turut melelong 404 barang sitaan aktiviti penjaja dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10,325.
“Proses lelongan yang dijalankan tidak sampai satu jam dan semua barangan melibatkan 68 lot berjaya dilelong.
“Kesemua barang sitaan yang dilelong ini adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan MPK bermula November 2019 hingga Februari lalu,” katanya. – UTUSAN