Maritim Malaysia rampas 4,000 liter minyak diesel - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 4,000 liter minyak diesel

SEBUAH bot nelayan yang diubah suai bagi menjalankan aktiviti penyeludupan minyak ditahan oleh Maritim Malaysia di muara Kuala Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan sebuah bot pukat hanyut kelas A menyeludup kira-kira 4,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM7,000 ke negara jiran di Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan kira-kira 0.01 batu nautika dari muara Kuala Perlis pada pukul 11.30 pagi.  

Katanya, tangkapan tersebut dibuat hasil daripada pemantauan Maritim Malaysia melalui Op Benteng Laut di perairan negeri ini.

“Ketika rondaan dibuat, pihak kami mendapati seorang tekong dan seorang awak-awak sedang leka melakukan aktiviti pengisian minyak diesel. Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan darat berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati ianya telah diubah suai, yang mana tempat petak ikan telah ditukarkan kepada tangki minyak,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bot yang membawa muatan minyak diesel tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai vesel tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melanggar syarat lesen serta Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Jelasnya, semua rampasan dan bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim khususnya di perairan utara Semenanjung Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN