Lelaki 72 tahun rugi RM90,000 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Lelaki 72 tahun rugi RM90,000 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang pembantu am di sebuah syarikat di sini kerugian sebanyak RM90,000 selepas dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam kelmarin. 

Mangsa yang berumur 72 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai polis berpangkat Sarjan dari Ibu Pejabat Kontinjen Seremban, Negeri Sembilan yang mendakwanya terlibat dengan kes pengubahan wang haram. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berasa takut dengan dakwaan itu walaupun tidak terlibat dengan kes tersebut telah mengikut segala arahan daripada individu berkenaan.

Katanya, suspek meminta mangsa memberikan nombor kad debit dan tiga digit nombor di belakang kad debit miliknya. 

“Tanpa menyedari tipu muslihat tersebut, mangsa juga telah memberikan sebanyak lima kali nombor pengesahan transaksi bank (TAC) yang diterimanya kepada individu tersebut. 

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila menyemak baki di dalam akaun banknya yang berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Noorzainy, yakin sudah terperangkap dengan sindiket penipuan, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya semalam.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket. 

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” jelasnya. 

Tambah beliau, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya