KPDNHEP rampas sarung tangan getah tiruan bernilai hampir RM43,000 - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas sarung tangan getah tiruan bernilai hampir RM43,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 840 kotak berisi sarung tangan getah tiruan beserta 8,280 kotak kosong jenama Gloveon Paloma bernilai hampir RM43, 000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, semua barangan rampasan itu ditemukan sekumpulan lima pegawai KPDNHEP dalam operasi membanteras penjualan barang-barang tiruan di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima mengenai sarung tangan getah tiruan jenama Gloveon Paloma daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar Cisco (M) Sdn. Bhd. yang mewakili Hartalega NGC Sdn. Bhd.

“Modus Operandi peniaga barang tiruan ini adalah membeli sarung tangan getah yang rosak dan terpakai, dibersihkan kemudian dibungkus semula menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Iskandar Halim, sarung tangan getah tiruan dan yang asli boleh dibezakan menerusi penelitian terhadap kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan.

“Hasil verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kotak sarung tangan getah tersebut disyaki tiruan.

“Ke semua barang-barang tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan nilainya dianggarkan berjumlah RM42,320,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah perenggan 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar tersebut.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi kesalahan yang sama.

Tegas Iskandar Halim lagi, pihaknya ingin mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dalam melaksanakan apa jua perniagaan.

“Saya sekali lagi ingin memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang terutama yang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iskandar Halim turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada KPDNHEP sekiranya terdapat aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

Orang ramai boleh menghubungi Enforcement Command Centre (ECC), KPDNHEP di talian 1-800-886800 atau 03- 8882 6088 untuk tujuan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya