SUNGAI PETANI: Seorang jurujual wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Taman Kelisa Ria, Amanjaya di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Kuek Choo Hong, 61, ditemui oleh anak saudara lelakinya dalam keadaan terlentang berlumuran darah serta muka ditekup dengan bantal kira-kira pukul 1 petang.
“Pemeriksaan pada mayat bersama pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui kesan kelar pada leher mangsa sepanjang kira-kira 12 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa ditemui selepas kakaknya mengesyaki sesuatu yang buruk apabila mangsa tidak pergi bekerja di sebuah pasar raya di sini hari ini.
“Kakak mangsa bersama beberapa ahli keluarga dan rakan mangsa pergi rumah tersebut dan mendapati pintu rumah berkunci dengan mangga dari luar dan pendingin hawa masih terbuka.
“Mereka cuba memanggil mangsa bagaimanapun tidak berbalas menyebabkan mereka memecahkan mangga pada pintu rumah sebelum anak saudara mangsa masuk ke dalam bilik nombor dua dan menemui mayat mangsa,” ujarnya.
Menurut Shamsudin, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah teres satu tingkat itu bersama suaminya berusia 62 tahun.
Selain itu, kata beliau, keterangan awal menantu mangsa menyatakan mangsa sering bergaduh dengan suaminya dan juga pernah ditinggal di tepi jalan.
“Hanya mangsa dan suspek mempunyai kunci rumah itu, selain tiada kesan pecah masuk yang mana rumah berkunci dengan baik sebelum dipecahkan oleh waris mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif sebenar pembunuhan itu dan sedang mengesan suami mangsa bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. – UTUSAN