JOHOR BAHRU: Hasrat pemilik syarikat untuk menjalankan projek tanaman tebu lebur apabila ditipu seorang lelaki yang kononnya mahu memajak tanah pertanian 100 hektar miliknya di negeri ini.
Akibat itu, mangsa dalam lingkungan usia 50 tahun kerugian RM357,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, mangsa dikatakan sedang mencari tanah untuk menjalankan projek tanaman tebu sekitar Disember tahun lalu.
Menurutnya, mangsa diperkenalkan oleh seorang broker tanah kepada suspek berumur lingkungan 50-an sehingga dia menandatangani perjanjian pada Mac lalu.
“Syarikat mangsa menyerahkan wang RM357,000 kepada syarikat suspek yang kononnya seorang pemilik tanah pertanian sebelum dia membuat semakan dengan Kementerian Asas Tani di Putrajaya.
“Setelah semakan dibuat mendapati tanah itu bukan milik syarikat suspek tetapi milik Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Salleh berkata, setelah menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Dalam kes berasingan, Mohd. Salleh memberitahu seorang pesara kerajaan berusia 60 tahun kerugian RM103,500 ditipu sindiket ‘love scam’ yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.
Beliau berkata, suspek yang kononnya menyamar sebagai lelaki British menawarkan hadiah wang tunai Euro 56,000 (RM276,673) sebagai tanda persahabatan.
“Ejen penghantaran kemudiannya menghubungi mangsa dengan meminta bayaran cukai berjumlah RM103,500 untuk mendapatkan parcel yang dikirim lelaki tersebut.
“Mangsa menyerahkan wang simpanannya sebelum suspek menghilangkan diri dan susulan itu mangsa membuat laporan polis pada semalam,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN