KLUANG: Sebanyak enam individu kini diburu Polis Daerah Kluang kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah komersial termasuk pecah amanah sejak 2016 hingga Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, pihaknya percaya sebahagian daripada individu berkenaan masih tinggal di negeri ini dan ada juga yang telah melarikan dari Johor.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah penipuan manakala seorang lelaki pula dikehendaki bagi kes pecah amanah.
“Suspes-suspek yang diburu ialah Mohd. Omar Abdullah, 57; Azmi Mohd. Yassin, 49; Mohd. Najmuddin Abu Bakar, 33; Zulaikha Mohamadaril, 31; K. Ganasan, 43, dan S. Chandar, 46.
“Polis Kluang akan mengeluarkan senarai nama orang yang dikehendaki dari masa ke masa kepada pihak media bagi mengesan, menangkap dan mendakwa mereka yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek-suspek berkenaan boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun terus menghubungi talian 07-7784222 sambungan 4234.
Katanya, kerjasama orang ramai amat dialu-alukan demi menjaga kedaulatan undang-undang negara dan kesejahteraan masyarakat khususnya di negeri Johor dan Malaysia amnya. – UTUSAN