BALIK PULAU: Polis menahan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjatakan parang melibatkan seorang mangsa wanita warga Indonesia di sini 13 Ogos lalu.
Suspek berusia 18 dan 23 tahun itu diberkas semula anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Barat Daya selepas mereka ditahan di Lokap IPD Timur Laut minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A Anbalagan berkata, penahanan ke atas dua suspek terbabit dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun di Bayan Lepas, 13 Ogos lalu.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut mangsa berusia 25 tahun telah disamun suspek yang bersenjatakan sebilah parang semasa berjalan kaki ke stesen bas.
“Suspek yang memakai jaket hitam kemudiannya melarikan beg sandang yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai RM30.
“Hasil siasatan, dua suspek terbabit telah ditahan polis di daerah Timur Laut pada 18 dan 24 Ogos lalu atas kesalahan samun warga asing di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, siasatan lanjut mendapati, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu disyaki terlibat dengan tujuh kes samun di Barat Daya dan empat lagi di Timur Laut dengan cara menunggang motosikal.
“Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan mengesan khususnya tempat tinggal mangsa wanita warga asing untuk melakukan samun sama ada menceroboh masuk rumah atau di sekitar luar rumah.
“Kita akan mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Majisteri Balik Pulau hari ini bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan/397 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – UTUSAN