Cubaan tekong seludup daun ketum 500 kilogram gagal - Utusan Malaysia

Cubaan tekong seludup daun ketum 500 kilogram gagal

MOHD. Shafie Paing (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Op Benteng Laut di perairan Kuala Perlis hari ini.- FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cubaan seorang tekong untuk menyeludup 500 kilogram daun ketum bernilai RM10,000 ke negara jiran, dipercayai Satun, Thailand tidak berhasil apabila dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Perlis di sini hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, daun ketum yang diisi dalam 50 beg plastik tersebut ditemukan dalam sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang ditahan di perairan negeri ini pada jarak kira-kira 0.9 batu nautika daripada barat Kuala Perlis kira-kira pukul 2.33 pagi.

Katanya, tekong terbabit dikatakan keluar ketika air laut mula surut pada waktu awal pagi, dengan kelebihan struktur bot fiber milik individu tersebut yang lebih mudah bergerak dalam keadaan berlumpur berbanding bot milik pasukan penguat kuasa, namun tetap berjaya dipintas pihaknya.

Jelasnya, penangkapan tersebut adalah hasil maklumat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui unit Unmanned Aircraft Systems (UAS) sebelum disalurkan kepada pihaknya yang sedang melakukan Op Benteng Laut.

“Pemantau unit UAS mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke sempadan negara jiran. Bot itu kemudian telah bertindak menukar haluan ke arah darat sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipintas oleh kami.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun bertindak terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke darat sebelum ditangkap oleh anggota Maritim Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, selain daun ketum, pihaknya turut merampas bot fiber berserta enjin sangkut dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM20,000.

Menurutnya, bot tersebut telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Lelaki tersebut telah direman selama empat hari sehingga Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duannya sekali.

“Tekong tersebut sememangnya sudah berada dalam pemantauan risikan kami selama kira-kira enam bulan dan akhirnya berjaya ditahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya