7 premis judi atas talian dipotong bekalan elektrik - Utusan Malaysia

7 premis judi atas talian dipotong bekalan elektrik

ANGGOTA polis dan TNB memeriksa meter elektrik sebuah premis judi online di Seksyen 16, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak tujuh premis berdepan dengan tindakan pemotongan bekalan elektrik berikutan dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian.

Kesemua bekalan elektrik di premis yang terletak di Seksyen 15, Seksyen 16, Seksyen 25 dan Seksyen 28 itu dipotong dalam satu operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua operasi Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) IPD Shah Alam, Inspektor Saiful Azni Ahmad berkata, seramai lapan anggota dan pegawai, dan 10 kakitangan TNB yang menyertai operasi selama empat jam bermula pukul 10 pagi itu.

“Siasatan polis mendapati beberapa pusat judi atas talian ini bersembunyi di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.  

“Kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi ada beberapa pemilik dan penjaga premis masih berdegil dengan menjalankan kegiatan mereka. 

“Oleh demikian, kita mengambil tindakan memotong bekalan elektrik dilakukan di semua premis ini bagi mengelak sindiket daripada aktif semula dan polis menjalankan operasi mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja kedai runcit berhampiran premis judi atas talian mendakwa, pekerja di pusat itu sempat membawa keluar beberapa perabot seperti kerusi dan meja sebelum operasi pemotongan bekalan elektrik dilakukan di kawasan tersebut hari ini.

Dakwa pekerja yang enggan dikenali mendakwa, pekerja premis judi atas talian itu membawa keluar perabot kira-kira dua minggu lalu.

“Saya melihat beberapa pekerja premis itu membawa meja, kerusi dan sebagainya keluar daripada pusat tersebut. 

“Bagaimanapun, saya tidak berani menegur mereka bimbang perkara buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya