KUALA LUMPUR: Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa kali memberi amaran tegas terhadap pemilik premis hiburan agar ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun ada yang masih berdegil beroperasi.
Terbaharu, seramai 69 individu dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas ditahan polis kerana melanggar PKPP dalam dua serbuan di premis hiburan dan pusat hiburan di Seri Kembangan dan Kepong, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, serbuan kira-kira pukul 5.20 petang itu dijalankan oleh 16 pegawai dan anggota D7 Bukit Aman.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah premis di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, pihaknya menahan sembilan wanita warga Vietnam dan Indonesia berusia antara 18 hingga 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur.
“Selain itu, turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga penjaga premis serta dua pelanggan masing-masing berusia 30 dan 35 tahun.
“Dalam serbuan kedua di sebuah premis hiburan di Bandar Manjalara, Kepong, sebanyak 13 wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 36 tahun yang bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Zani, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 26 tahun masing-masing bekerja sebagai penjaga kaunter serta pengurus premis.
Tambahnya, seramai 60 individu termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 62 tahun yang merupakan pengunjung pusat hiburan berkenaan ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi itu.
“Tangkapan melibatkan seramai 25 individu manakala 69 individu lagi dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melanggar PKPP selaras Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) (2020).
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya. – UTUSAN