ISKANDAR PUTERI: Seramai 26 individu termasuk tiga wanita ditahan polis dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah premis hiburan di Taman Nusabayu di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan itu dijalankan pada pukul 12.30 pagi hari ini.
Katanya, kesemua suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 16 hingga 36 tahun.
“Ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek berada di dalam premis dan sedang berhibur serta meminum arak.
“Pemeriksaan ke atas premis mendapati pihak terbabit gagal mengemukakan lesen hiburan serta tiada prosedur operasi standard (SOP) dilaksana sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, pemeriksaan rekod lampau mendapati 11 daripada suspek ditahan memiliki rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan aktiviti jenayah lain.
“Kesemua suspek ditahan turut diberikan kompaun atas kesalahan pelanggaran SOP semasa PKPP.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan bagaimanapun mendapati kesemua negatif penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, 25 warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ), Seksyen 25(1) Akta Pendaftaran Negara dan Seksyen Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2020.
“Sementara itu, wanita warga Indonesia tersebut disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” tambahnya. – UTUSAN