Upah lumayan dorong pelajar IPTA, penganggur jadi keldai dadah - Utusan Malaysia

Upah lumayan dorong pelajar IPTA, penganggur jadi keldai dadah

ZULKIFLI Adamshah (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dalam sidang akhbar Siasatan Jenayah Narkotik berhubung sindiket pengedaran dadah di KLIA, Sepang, semalam. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ditawar upah lumayan sekitar RM600 per kilogram (kg) menyebabkan dua suspek yang dipercayai keldai dadah dari Sarawak sanggup mengambil risiko menyeludup bahan terlarang tersebut menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kedua-dua suspek iaitu seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Sarawak dan seorang penganggur ditahan secara berasingan oleh polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah KLIA di sekitar kawasan pintu pelepasan lapangan terbang tersebut. 

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Polis Zulkifli Adamshah, suspek pertama dalam lingkungan umur 22 tahun ditahan sekitar pukul 3.45 petang membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu seberat 5.293 kg bernilai RM200,000.

Manakala suspek kedua ditahan sejurus polis memperoleh maklumat daripada suspek pertama sekitar pukul 4.15 petang yang turut menemukan dadah disyaki syabu seberat 6.341 kg bernilai RM240,000.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi kedua-dua suspek, polis menemukan masing-masing lima dan enam bungkusan berlabel teh Cina yang dipercayai dadah jenis syabu.

“Bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh sekitar Selangor untuk diedarkan di negeri tersebut,” ujarnya dalam sidang akhbar dekat sini semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk mengenal pasti pembekal tersebut.

Untuk makluman, katanya, polis telah bertindak atas maklumat awam yang diterima dan percaya sindiket tersebut cuba mengambil kesempatan atas situasi negara yang sedang dilanda Covid-19. 

Katanya, kedua-dua suspek tiba di Kuala Lumpur Selasa lepas dan terus mendapatkan bekalan sebelum bertolak pulang ke Sarawak keesokan harinya. 

“Mereka tertarik dengan tawaran upah yang diberikan sindiket kerana ingin mencari wang, sementelah di Sarawak akan bermulanya musim perayaan. 

“Tambahan pula suspek pertama seorang penganggur manakala suspek kedua adalah penuntut sebuah IPTA di Sarawak yang mana kita tahu sesi kuliah masih ditangguh akibat Covid-19,” katanya. 

Jelas Zulkifli, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati. 

“Sindiket mungkin beranggapan pihak berkuasa sudah melonggarkan kawalan di pintu masuk utama lapangan terbang namun pihak polis sentiasa memperketatkan kawalan dengan meletakkan pegawai dan anggotanya khusus di pintu pelepasan utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya