Pesara guru rugi RM1.07 juta diperdaya Macau Scam - Utusan Malaysia

Pesara guru rugi RM1.07 juta diperdaya Macau Scam

NIK EZANEE MOHD. FAISAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seorang pesara guru kerugian kira-kira RM1.07 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada 25 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, pesara guru berusia 71 tahun tersebut telah dihubungi seorang pegawai dari Pos Laju Malaysia yang memaklumkan terdapat satu bungkusan mengandungi kad pengenalan miliknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong Sin Hadari dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Ujarnya, mangsa diberitahu telah terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan butiran peribadinya telah digunakan oleh seorang individu yang dipercayai bekas pengurus bank.

“Bagi mengelakkan daripada ditangkap, mangsa diminta untuk memindahkan kesemua wang daripada akaun simpanannya ke dalam akaun suspek dan diugut supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa.

“Takut dirinya ditahan, mangsa telah membuat beberapa transaksi sejak 15 Jun sehingga 23 Julai lalu sebelum menyedari dirinya ditipu. Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis berkenaan perkara itu semalam,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee memberitahu, kadar jenayah jalanan di sekitar daerah Petaling Jaya meningkat 30 peratus dalam tempoh seminggu.

“Hasil siasatan kami, kebanyakan kejadian berlaku kira-kira pukul 6 sehingga 10 pagi dan penjenayah ini menyasarkan mangsa yang berjalan kaki ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN