Ops Sarang Khas: Johor catat tangkapan tertinggi  - Utusan Malaysia

Ops Sarang Khas: Johor catat tangkapan tertinggi 

SEBAHAGIAN daripada 44 suspek terlibat kes dadah yang ditahan polis dalam Ops Sarang Khas di Johor Bahru, semalam. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mencatatkan tangkapan suspek tertinggi dalam serbuan Ops Sarang Khas yang dijalankan serentak di seluruh negara membabitkan 448 suspek di atas pelbagai kesalahan dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tersebut yang melibatkan 341 anggota dan pegawai telah dijalankan di 13 lubuk penagihan dadah di 13 buah daerah negeri ini dengan menahan kesemua suspek berusia 18 hingga 60 tahun. 

Katanya, kesemua yang ditahan membabitkan 31 pengedar, 42 memiliki dadah dan 331 penagih selain merampas dadah pelbagai jenis seperti heroin seberat 300 gram (g), syabu (103.3g) dan ganja (103.3g) serta empat liter air ketum dan enam biji pil eramin 5 bernilai RM20,989. 

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut menahan 44 suspek yang mempunyai rekod kesalahan orang dikehendaki. 

“Tangkapan ini adalah yang tertinggi direkodkan berbanding kontinjen polis yang lain. Lubuk penagihan dadah ini sentiasa berubah dan biasanya menjadikan rumah terbiar dan kawasan hutan sebagai lokasi mereka. 

“Kebanyakan kes membabitkan individu yang ditahan berulang kali sebelum ini, malah ada yang sudah ditahan lima hingga enam kali. Daripada jumlah tersebut, majoriti yang ditahan adalah penganggur dan terdapat juga segelintir golongan profesional,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Ayob berkata, seramai 150 suspek yang ditangkap berpotensi untuk dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan dikenakan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

Katanya, ini merupakan hasrat polis untuk menjadikan Johor bebas daripada penagihan dadah memandangkan 90 peratus kes jenayah dilaporkan melibatkan penagihan dadah. 

“Dalam konteks membersihkan negeri ini dari penagih tegar, polis kini memperhebatkan tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita akan pastikan operasi ini dibuat setiap minggu. 

“Dari awal tahun hingga Ahad lalu, polis berjaya membuat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan 243 pesalah dadah tegar dan berulang,” katanya. 

Ayob memberitahu, dalam tempoh sama, polis berjaya membuat tangkapan seramai 10,682 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas dadah sebanyak 990.27 kilogram dengan nilai keseluruhan RM21.49 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya