Awas penggoda seks cari remaja di WeChat - Utusan Malaysia

Awas penggoda seks cari remaja di WeChat

Awasi anak-anak remaja, anda mungkin dalam sasaran pengoda seks siber.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Awas remaja, anda mungkin dalam senarai dijerat sindiket penggoda seks siber.

Modus operandi penjenayah ini mencari mangsa dalam kalangan remaja perempuan yang aktif di media sosial.

Bermula dengan ayat-ayat memuji kecantikan, suspek akhirnya mendorong mangsa berkongsi gambar tubuh badan mereka.

Selepas menerima gambar pelbagai aksi mangsa, suspek menggunakan gambar tersebut memaksa remaja berkenaan melakukan aksi seks.

Mangsa yang terjerumus dengan penggoda seks siber terpaksa mengikut arahan suspek kerana panik dan takut rahsia mereka terbongkar kepada keluarga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis Siti Kamsiah Hassan berkata, perbuatan merangsang remaja menjadi mangsa seksual semakin membimbangkan.

Menurut beliau, remaja bawah 15 tahun berisiko menjadi mangsa jenayah itu kerana keupayaan minda mereka belum sepenuhnya mampu membezakan perkara baik atau buruk.

“Penjenayah gemar mencari mangsa menerusi aplikasi WeChat, Facebook, Beetalk atau seumpamanya bagi memburu mangsa.

“Sejak 2016 hingga Mei lalu direkodkan sebanyak 1,143 kes membabitkan jenayah di media sosial,” kata beliau semasa ditemui di Bukit Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, melalui media sosial sudah memadai untuk penjenayah mempengaruhi dan mendorong remaja tertarik dengan aktiviti seksual.

“Perbuatan penggoda seksual itu adakalanya membuatkan mangsa melakukan seks terhadap ahli keluarga lebih muda seperti rogol atau seks luar tabii,” katanya.

Menurut Siti Khamsiah, identiti penjenayah sukar dikesan kerana kebanyakan media sosial menggunakan khidmat server luar negara.

Bagaimanapun, katanya, ada segelintir pelakunya dalam kalangan orang dikenali mangsa seperti ahli keluarga, teman lelaki, jiran atau guru.

“Ada juga penjenayah ini berada di luar negara dan menyasarkan kanak-kanak di Malaysia dan polis ada mengesan satu kes mangsa di sini manakala suspek di Taiwan.

“Selain itu, ada satu kes, pelakunya membabitkan guru sekolah mangsa. Guru tersebut menggunakan akaun palsu berkomunikasi dengan mangsa sehingga kanak-kanak berusia 11 tahun menghantar gambar tidak senonohnya,” katanya.

Jelas beliau, kes tersebut berakhir dengan remaja berkenaan trauma selepas diugut gambar bogelnya akan disebarkan. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN