Mahkamah tentukan nasib Najib Selasa ini - Utusan Malaysia

Mahkamah tentukan nasib Najib Selasa ini

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun satu bulan didakwa, nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini esok.

Menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang didakwa di mahkamah di negara ini, Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM42 juta berhadapan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan juga boleh didenda jutaan ringgit.

Anak sulung Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Rahah Mohamad Noah itu dituduh atas kesemua pertuduhan tersebut pada 4 Julai 2018.
Perbicaraan kes bermula pada 3 April 2019 dengan pihak pendakwaan pada awalnya diketuai bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. Pihak pendakwaan kini diketuai Timbalan Pendakwa Raya Adhoc Datuk V. Sithambaram.

Ahli Parlimen Pekan itu diwakili barisan 11 peguam bela yang diketuai, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Perbicaraan kes bermula 3 April 2019 dan berlangsung selama 94 hari. Seramai 96 orang dipanggil memberi keterangan dengan 57 adalah saksi pendakwaan dan selebihnya saksi pembelaan.

Najib yang juga saksi pembe­laan pertama telah memberi keterangan secara bersumpah iaitu dari kandang saksi pada 3 Disember tahun lalu.
Bagi tuduhan pecah amanah, Najib didakwa melakukan kesa­lahan itu membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International antara Disember 2014 dan Mac 2015 di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan di sini.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda. Bagaimanapun, atas faktor usia, Najib tidak akan disebat.
Bekas Perdana Menteri itu juga menghadapi tuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN