5 lelaki Indonesia gagal seludup 230kg ganja ke Langkawi - Utusan Malaysia

5 lelaki Indonesia gagal seludup 230kg ganja ke Langkawi

seludup dadah
MOHD. Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian daripada ganja yang dirampas APMM di Langkawi semalam. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Cubaan lima lelaki Indonesia untuk menyeludup dadah jenis ganja seberat 230 kilogram (kg) dianggarkan RM700,000 ke pulau peranginan ini gagal apabila mereka ditahan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) berjaya mengesan dua bot pada kedudukan 40 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar yang bergerak ke perairan Langkawi kira-kira pukul 11.30 malam.

“Bot pemintas APMM yang sedang melaksanakan Op Benteng kemudian berjaya menjejaki dua bot kayu tersebut dalam keadaan bergelap pada kedudukan 40.4 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah.

“Mereka yang berada dalam dua bot itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum mereka dilihat mencampakkan bungkusan guni besar ke dalam laut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kata beliau, kesemua empat bungkusan itu berjaya ditemui semula anggota penguat kuasa APMM.

“Dua bot tersebut berjaya ditahan dan pemeriksaan selepas itu menemui dua lelaki dalam bot pertama dan tiga lelaki bersama dua guni besar di bot kedua,” ujarnya.

Menurut Mohd. Zawawi, hasil pemeriksaan enam bungkusan guni itu mengandungi 230 kg ganja yang disyaki mahu diseludup ke Pulau Langkawi.

“Lima suspek merupakan warga Indonesia dan ketika ditemui, mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 57 tahun dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya