MELAKA: UMNO bersedia mendedahkan semua maklumat terperinci berhubung kutipan RM50 juta menerusi Tabung Solidariti Najib Razak kepada pihak berkuasa sekiranya perlu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menurutnya, sumbangan berkenaan bukan sahaja diterima daripada ahli UMNO tetapi daripada pelbagai pihak.
“Tabung yang dibuka oleh Ibu Pejabat UMNO telah ditutup setelah jumlah kutipan itu mencukupi sebanyak RM50 juta.
“Ia dibuat secara pendanaan awam (crowd funding) yang mana sumbangan bukan hanya datang daripada individu terdiri daripada ahli UMNO, bukan ahli juga daripada cawangan, bahagian dan Perhubungan UMNO negeri-negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama kakitangan Kemas Melaka 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya memastikan semua garis panduan yang ditetapkan dipatuhi sepanjang proses pengumpulan sumbangan berkenaan.
“Kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib kerana kita telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib dan kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan.
“Wang itu disalurkan setelah dimasukkan ke dalam akaun yang diamanahkan kepada Ibu Pejabat UMNO Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, UMNO mengumumkan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu ditutup selepas kutipan mencapai sasaran.
UMNO turut memaklumkan segala proses pembayaran denda berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan pada 6 November lalu.
Bagaimanapun, isu kutipan meningkat daripada RM9.25 juta kepada RM50 juta dalam tempoh 40 hari mencetuskan persoalan mengenai ketelusan sumber dana itu.
Semalam, Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin menggesa pihak berkuasa menyiasat jejak wang RM50 juta yang digunakan untuk membayar denda bekas Perdana Menteri itu bagi mengenal pasti sumber dana itu diperoleh.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menyiasat perkara tersebut. – UTUSAN











