KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan merusuh menggunakan senjata untuk merebut kawasan perniagaan, minggu lalu.
Pengakuan itu dibuat, Iftikhar Muhammad Rehmani Mohd Rafie, 30; Danny Chan Tim Meng, 20; Yee Jun Jiet, 20; Khaw Kah Ho, 19; Mohd. Quayyum Azman, 43; Syaiful Kamal Abdulahak, 44, dan remaja lelaki berumur 16 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang individu yang masih bebas didakwa menyertai rusuhan dengan memiliki benda memudaratkan yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Cheras, di sini, pada pukul 11 malam, 1 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad tidak mencadangkan sebarang jaminan bagi enam tertuduh kecuali tertuduh juvana iaitu jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pada prosiding itu, Muhammad Rehmani, Tim Meng, Jun Jiet, Kah Ho dan remaja bawah umur diwakili peguam bela, Mohamad Akmal Mohd Taufik manakala Mohd. Quayyum dan Syaiful Kamal diwakili peguam bela, Nurul Aina Ardilla Abdul Halim.
Dalam rayuannya, kesemua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga selain ada yang masih belajar dan hanya menetap bersama ibu bapa.
Kesemua tertuduh juga tiada risiko melarikan diri dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 dengan seorang penjamin bagi remaja tersebut dengan enam tertuduh yang lain diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis satu kali sebulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 Disember ini.
Pada 2 November lalu, seramai sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian merusuh dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak.
Kesemua suspek berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian.
Tangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira 11 malam dengan siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan. – UTUSAN











