JOHOR BAHRU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu memperkukuh keupayaan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat bumiputera untuk menyertai rantaian nilai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif ini bagi memastikan syarikat bumiputera tempatan mempunyai keupayaan merebut peluang yang terhasil daripada pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam rantaian bekalan, kerjasama komersial dan sektor pertumbuhan tinggi.
Beliau berkata, peluang ini semakin terbuka susulan JS-SEZ merekodkan pelaburan bernilai RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun lalu.
“Perkembangan ini membuka ruang kepada syarikat tempatan, termasuk syarikat Bumiputera, untuk mengembangkan perniagaan, meluaskan pasaran serta menjalinkan kerjasama dengan pelabur dan syarikat peneraju industri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Teraju Aspirasi Business Symposium (TABS) 2026 di DoubleTree Hotel, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi.
TABS 2026 yang bertemakan ‘Johor: Menerajui Transformasi, Memacu Pertumbuhan’ menghimpunkan usahawan, institusi kewangan, rakan industri serta agensi Persekutuan dan negeri bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh penyertaan syarikat bumiputera dalam ekosistem JS-SEZ.
Pada program itu, TERAJU menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.56 juta kepada sembilan usahawan bumiputera di Johor menerusi dua program utama, iaitu Bumiputera Expansion & Catalyst Fund (BECF) dan Islamic Working Capital Financing Programme (i-WCPF).
Dalam ucapannya, Akmal menekankan kepentingan memastikan syarikat bumiputera mempunyai keupayaan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem perniagaan JS-SEZ.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan lebih banyak syarikat bumiputera Johor bukan sekadar menerima sokongan, tetapi turut bersedia menjadi pembekal, rakan strategik dan pemain kompetitif dalam rantaian nilai JS-SEZ.
“Ini memerlukan pengukuhan keupayaan perniagaan, peningkatan produktiviti serta kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta bagi menterjemahkan peluang pelaburan kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor, agensi berkaitan dan sektor swasta penting bagi memastikan pertumbuhan pelaburan JS-SEZ turut membawa manfaat kepada perniagaan tempatan dan rakyat Johor, termasuk melalui peluang perniagaan serta pekerjaan berkualiti.
“Lebih ramai usahawan bumiputera akan dikenal pasti, disaring dan dibimbing secara berperingkat berdasarkan tahap kesediaan serta potensi pertumbuhan perniagaan masing-masing. Usahawan terpilih akan dibimbing ke tahap pertumbuhan seterusnya.
“Pendekatan ini selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada usaha membina keupayaan, memperkukuh pemilikan aset produktif dan meningkatkan nilai perniagaan bumiputera,” katanya. -UTUSAN











