PETALING JAYA: Trafik di rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dijangka mencecah 2.24 juta kenderaan sehari pada hari perjalanan puncak sempena sambutan Deepavali pada 8 November ini.
Menurut PLUS, pada hari puncak, jumlah kenderaan dijangka meningkat 17 peratus berbanding purata harian sebanyak 1.92 juta kenderaan.
Katanya, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), trafik dijangka meningkat 68 peratus kepada 42,000 kenderaan sehari berbanding kira-kira 25,000 pada hari biasa.
“Peningkatan trafik dijangka bermula 5 November, apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman atau menuju ke destinasi percutian.
“Sementara itu, trafik menghala masuk ke Lembah Klang dijangka meningkat pada 9 dan 10 November apabila pengguna lebuh raya kembali selepas cuti Deepavali dan persekolahan.
“Sehubungan itu, PLUS menyarankan pengguna merancang perjalanan lebih awal dan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS (MyPLUS-TTA) bagi memilih waktu perjalanan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Bagi melancarkan aliran trafik, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 32 lokasi terpilih.
Katanya, langkah itu membolehkan lorong kecemasan digunakan sementara sebagai lorong tambahan, bergantung pada keadaan trafik semasa.
“Pengguna lebuh raya diingatkan supaya menggunakan Smart Lane hanya apabila diaktifkan, mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat serta mengikuti papan tanda dan arahan petugas lebuh raya.
“Maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS atau akaun X @plustrafik, manakala pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PLUSLine di 1-800-88-0000,” katanya. – UTUSAN











