Perbezaan pendirian parti tidak jejas pentadbiran Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Perbezaan pendirian parti tidak jejas pentadbiran Kerajaan Perpaduan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Perbezaan pandangan dan pendirian politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan kerja antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan kekal baik, dengan urusan pentadbiran kementerian serta mesyuarat Jemaah Menteri berjalan lancar secara profesional.

“Tiada permasalahan dari segi hubungan. Kami mengendalikan kementerian dan mengadakan mesyuarat Kabinet setiap minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaksanaan urusan dan pentadbiran kerajaan dilakukan secara profesional, dan tidak pernah timbul perbezaan pendapat ataupun perbalahan sepanjang lebih empat tahun ini,” katanya kepada wartawan Malaysia semasa sidang akhbar bersempena dengan lawatan kerja empat hari ke Turkiye yang berakhir hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpotensi menjejaskan hubungan antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pendekatan dan pendirian politik antara parti perlu ditangani secara matang terutama apabila wujud situasi politik berbeza pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau memberikan contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan Negeri Sembilan sebelum ini serta kempen PRN Melaka yang sedang berlangsung yang memperlihatkan perbezaan pendekatan politik pada peringkat negeri meskipun BN dan PH bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.

“Pada hemat saya, kematangan politik di Malaysia kini berada pada tahap hampir optimum, dan walaupun terdapat langkah serta pendekatan berbeza dalam bidang politik, insya-Allah perkara itu tidak akan menjejaskan kestabilan politik negara,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini