KUALA LUMPUR: Warganegara Malaysia yang menjadi pemudah cara kepada warga asing melakukan kesalahan di negara ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan tegas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu termasuk terhadap individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, tindakan juga akan dikenakan terhadap pemilik tanah atau premis yang membenarkan aktiviti perniagaan berkenaan dijalankan.
“Pendekatan kawalan sempadan negara pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada pembinaan tembok dan pagar.
“Ia turut melibatkan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pemantauan pintar,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung langkah kerajaan membendung pencerobohan dan perdagangan manusia yang menjadikan Langkawi sebagai destinasi.
Ahmad Zahid berkata, di peringkat Kerajaan Persekutuan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan Arahan Gerakan MKN Bil. 1/2022 bagi menyelaras langkah dan gerak tindak pasukan keselamatan dalam melaksanakan kawalan di sempadan negara.
“Aktiviti itu merangkumi pengawasan, pemantauan keselamatan dan pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara.
“Pelaksanaan aktiviti berkenaan melibatkan perairan dan sempadan darat Malaysia termasuk Pulau Langkawi,” katanya.-UTUSAN











