PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat berpangkat Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa anggota lain-lain pangkat dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Rasuah berkenaan diberikan sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram.
Pemilik syarikat iaitu seorang lelaki bersama dua orang wanita iaitu seorang guru tuisyen dan seorang pegawai pemasaran berusia lingkungan 30 hingga 50-an, ditahan kira-kira pukul 4 petang pada 1 November lalu di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor, dan Johor.
Satu sumber berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 hingga kini.
“Kesemua suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah dan memberikan wang rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa orang anggota lain-lain pangkat dan pegawai polis
“Rasuah berkenaan sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram di sekitar negeri Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber itu, melalui siasatan yang dijalankan, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama PDRM telah menggeledah beberapa lokasi terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek.
“Dalam operasi tersebut SPRM telah menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000; empat unit telefon bimbit serta satu unit komputer riba.
“Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 20 akaun bank persendirian serta sembilan akaun bank syarikat yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 November ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 November lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN











