Pemeriksaan saliran dipertingkat, hotspot banjir dipantau

Pemeriksaan saliran dipertingkat, hotspot banjir dipantau

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemeriksaan mengejut (spot check) terhadap sistem saliran di Kuala Lumpur dipergiatkan bagi memastikan laluan air tidak tersumbat, sekali gus mengurangkan risiko kejadian banjir kilat ketika musim hujan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pemeriksaan itu perlu dilakukan lebih awal, terutama ketika musim kering bagi memastikan kerja pembersihan saliran dilaksanakan dengan sempurna sebelum hujan lebat.

Menurutnya, pejabat cawangan Parlimen di Kuala Lumpur turut diaktifkan dengan pasukan pemantauan yang menjalankan rondaan bagi mengenal pasti masalah di lapangan dan menyalurkan laporan terkini kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang jalan nampak bersih tetapi lubang saliran mungkin tersumbat. Sebab itu kita perlu membuat pemeriksaan mengejut dan memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan betul.

“Kumpulan ini juga menjalankan rondaan dan memastikan perkara itu diberi perhatian serta melaporkan perkembangan terkini kepada Datuk Bandar,” katanya selepas melancarkan Bulan Kitar Semula dan Perasmian Fasiliti Kitar Semula (COB5R) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan jumlah lokasi panas banjir kilat di ibu negara tidak meningkat semula.

Katanya, perubahan corak cuaca ketika ini memerlukan pihak berkuasa membuat persediaan lebih awal dan tidak lagi bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) biasa.

“Perancangan kita perlu mengambil kira kemungkinan hujan yang berlaku sekali dalam tempoh 200 hingga 500 tahun, bukan lagi hanya 100 tahun.

“Kalau hujan setengah jam sahaja pun, kawasan boleh tenggelam. Sebab itu kita memerlukan pemantauan aktif,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, konsep bandar span (sponge city) turut diberi perhatian bagi meningkatkan keupayaan kawasan bandar menyerap dan mengurus air hujan.

Katanya, pembangunan terancang, kawalan ketat terhadap pembangunan di kawasan bukit serta pemeliharaan kawasan lapang dan hijau perlu diberi keutamaan bagi memastikan air hujan mempunyai ruang untuk diserap dan dialirkan.

Beliau berkata, kerja penyelenggaraan sungai turut dipertingkatkan sebagai sebahagian usaha mengurangkan risiko banjir kilat.

Sebagai contoh, kerja mendalamkan dasar Sungai Toba kini dilakukan enam kali setahun berbanding hanya dua kali sebelum ini.

Katanya, jumlah hotspot banjir di Kuala Lumpur berjaya dikurangkan daripada 30 kepada 14 lokasi dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan sasaran untuk menurunkannya kepada 10 lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini