TEMERLOH: Pekan Sehari Temerloh yang menjadi nadi kegiatan ekonomi dan pusat pertemuan sosial masyarakat selama lebih 150 tahun kini berpotensi diangkat sebagai tapak warisan dunia UNESCO menerusi usaha pemuliharaan sejarah, budaya dan tradisi yang telah diwarisi sejak era 1870-an.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd. Noor berkata, pengiktirafan tersebut dilihat mampu mengangkat nilai warisan unik pekan sehari berkenaan yang mencerminkan kearifan tempatan, budaya perniagaan serta identiti masyarakat Temerloh.
“Pekan sehari bukan sekadar lokasi kegiatan ekonomi, malah mencerminkan kearifan tempatan, budaya perniagaan dan hubungan sosial masyarakat yang diwarisi daripada generasi terdahulu sehingga membentuk identiti penduduk Temerloh.
“Tradisi berkenaan mempunyai nilai sejarah yang besar kerana berjaya bertahan merentasi beberapa generasi, sekali gus wajar dipelihara sebagai khazanah warisan negara,” katanya pada Program Bicara Sejarah Pekan Sehari Temerloh anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di Dewan Semantan Perdana, Hotel Seri Malaysia Temerloh di sini.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.
Pada Disember 2023, Pekan Sehari Temerloh menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records iaitu pasar pagi terpanjang di Malaysia sepanjang 2,153 meter dan jumlah peniaga berdaftar paling ramai seramai 607 orang.
Zaidin berkata, pengiktirafan itu menjadi antara asas penting untuk menyokong usaha kerajaan negeri mewartakan Pekan Sehari Temerloh sebagai tapak warisan negeri sebelum diangkat ke peringkat kebangsaan dan seterusnya diperjuangkan bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO.
Beliau turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai bahan berkaitan sejarah pekan sehari itu supaya menyerahkannya kepada ANM untuk dipelihara, termasuk gambar lama, dokumen, artifak, kaset dan rakaman video.
Dalam program berkenaan, empat koleksi bahan sejarah diterima daripada Majlis Perbandaran Temerloh, Rostam Saad, Ir. Dr. Isma Nazom Abdul Hamid dan Muhammad Nasir Lani yang mewakili komuniti Kampar di daerah itu.
Program itu menampilkan tiga pembicara iaitu Datuk Kurnia Arjuna Datuk Akhbar, Ir. Dr. Isma Nazom Abdul Hamid dan Nasir Lani.
Sesi bicara dikendalikan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, Prof. Madya Ts. Dr. Saiful Farik Mat Yatin.
Penganjuran program itu bertujuan menyebarluaskan maklumat sejarah dan warisan tempatan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah sejarah sebagai asas pembentukan identiti serta memori kolektif komuniti.
Inisiatif itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang maklumat dan bahan sejarah bagi memastikan warisan Pekan Sehari Temerloh terus didokumentasikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang. – UTUSAN








