MELAKA: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Melvin Chua Kew Wei pada 14 November ini bukan sekadar menentukan wakil rakyat Kota Laksamana, malah boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan besar yang menyaksikan kawasan itu diangkat sebagai ibu negeri Melaka yang baharu.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan jangka panjang untuk mentransformasikan Kota Laksamana menjadi pusat pembangunan baharu negeri, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada calon MCA itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Menurutnya, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan Kota Laksamana mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menerusi beberapa projek strategik termasuk pembangunan koridor ekonomi, Strait of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).
“Kota Laksamana ini mesti dinaikkan taraf supaya pembangunan yang begitu pesat di kawasan ini dapat menjadikan Kota Laksamana sebagai ibu negeri Melaka ataupun ibu kota negeri Melaka buat pertama kalinya sejak selepas merdeka.
“Saya berharap rakyat Kota Laksamana memberikan sokongan kepada Melvin bagi membolehkan perancangan pembangunan itu dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Kita mahu membangunkan Melaka, membangunkan Kota Laksamana dan memberikan negeri ini nafas baharu dalam membina Melaka baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Ketua Menteri ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Melvin.
Ab. Rauf berkata, pembangunan SM-WEZ yang sebahagian besarnya melibatkan Kota Laksamana dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu negeri ini.
Katanya, perancangan tersebut merangkumi pembangunan kawasan perniagaan, perumahan, kemudahan perubatan serta tarikan pelancongan yang mampu meningkatkan nilai ekonomi dan daya saing Melaka.
Mengulas tempoh pelaksanaan perancangan berkenaan, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri melihat tempoh lima tahun pertama sebagai fasa penting untuk menyusun perancangan dan penyelarasan sebelum diteruskan dalam tempoh lima tahun berikutnya.
Ab. Rauf berkata, BN yakin mampu mencipta kejutan di Kota Laksamana menerusi kerjasama jentera UMNO dan MCA yang kini digerakkan bagi memastikan kemenangan Melvin.
“Saya amat teruja melihat jentera UMNO dan MCA telah membuktikan bahawa kita boleh membuat satu kejutan di Kota Laksamana kerana mereka memerlukan perubahan dan perlu diubah,” ujarnya. – UTUSAN











