IPOH: Seorang mekanik yang ditahan dalam kes kecurian kabel minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam.
Tertuduh, Helmi Baharum, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Laila Mohamed Nazil.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis, Sarjan Faiz Yaakop daripada menjalankan fungsi awam di Jalan Raja Perempuan Mazwin, dalam daerah Kinta pada pukul 6 pagi, 30 Oktober 2026.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan
Dalam prosiding sama, lelaki terbabit bersama seorang lagi yang masih bebas didapati dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu satu gulung kabel milik Telekom Malaysia (TM) di mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut merupakan harta curi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Pulai Hartamas, Simpang Pulai dalam daerah Kinta pada waktu dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain memohon tarikh sebutan semula bagi tujuan penyerahan dokumen.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbhajan Singh dan Canice Chan Hong Yan memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan anak guam mereka mempunyai pendapatan rendah.
Menurut mereka, tertuduh bekerja sebagai mekanik sebelum ditangkap dengan pendapatan RM1,600 sebulan selain bertanggungjawab menjaga ibunya yang berusia 66 tahun dan menghidap kencing manis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Disember depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN











