TELOK MAS: Malaysia menerima bantuan pertahanan daripada beberapa negara sahabat termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman bagi memperkukuh keupayaan ketenteraan negara serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan keupayaan Malaysia mempertahankan negara, malah membolehkan negara memainkan peranan lebih besar dalam memastikan kestabilan rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
“Jepun misalnya, kita menjelaskan bahawa berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), terdapat dua syarat untuk menentukan hak sesebuah negara terhadap kawasan maritim.
“Pertama, kesedaran domain maritim iaitu mengetahui apa yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Kedua, kehadiran di kawasan itu (show of presence) menerusi operasi rondaan sama ada secara bersendirian atau bersama tentera laut, tentera udara atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penyerahan projek Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Menurut Khaled, Malaysia masih mempunyai jurang dalam aspek keupayaan maritim dan bantuan Jepun antara lain bertujuan memperkukuh kemampuan negara memantau kawasan perairannya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa sistem antidron yang bakal diterima daripada Jepun dilaporkan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Sepanggar dan Labuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Jerman turut menyalurkan bantuan sebanyak lima juta euro (kira-kira RM22.83 juta) bagi pembangunan pusat latihan tempur Tentera Darat di Kem Pulada, Johor.
Katanya, Amerika Syarikat merupakan antara negara yang menyalurkan bantuan terbesar, diikuti Australia dan Jepun pada tahun ini.
“Kerjasama ini penting untuk membangunkan keupayaan pertahanan negara supaya kita mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Sebab itu, diplomasi pertahanan menjadi antara elemen penting dalam hubungan Malaysia dengan negara lain,” katanya. – UTUSAN










