KPM buka saluran khas PIBG mohon penyelenggaraan sekolah 2027

KPM buka saluran khas PIBG mohon penyelenggaraan sekolah 2027

FADHLINA Sidek (duduk, tengah) menyantuni murid-murid ketika hadir ke Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Parlimen Gua Musang di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara diberi peluang mengemukakan secara terus permohonan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal sekolah masing-masing kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2027.

Permohonan melalui saluran khas itu dibuka selama sebulan bermula 1 hingga 30 November ini bagi membolehkan PIBG menyenaraikan keperluan pembaikan prasarana sekolah masing-masing untuk dipertimbangkan kementerian.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan susulan pengumuman peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM2 bilion, iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding peruntukan sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima pada 9 Oktober lalu turut mengumumkan peruntukan berkenaan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini.

“Sehubungan itu, KPM telah menyediakan saluran khas kepada PIBG untuk mengemukakan secara terus permohonan keperluan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal sekolah bagi tahun 2027.

“Permohonan dibuka selama sebulan, mulai 1 hingga 30 November 2026, melalui pautan dan kod QR yang disediakan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pada 30 Ogos lalu, Anwar mengumumkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2027 sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau turut meminta KPM menggerakkan usaha turun padang ke setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana sekolah.

Bagaimanapun, KPM menegaskan pembukaan saluran khas itu tidak bermaksud setiap permohonan yang dikemukakan akan diluluskan secara automatik.

Sebaliknya, setiap cadangan perlu berasaskan keperluan sebenar dengan memberi keutamaan kepada kerosakan kritikal serta perkara yang membabitkan risiko keselamatan murid dan warga sekolah.

KPM berharap kemudahan berkenaan dapat memudahkan PIBG mengemukakan permohonan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah masing-masing secara terus kepada kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini