JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan 2,373 pelbagai kesalahan dari awal tahun hingga semalam, melibatkan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM11.6 juta.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,774 kes kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, antara kesalahan dilakukan ialah gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga yang jelas pada barangan atau perkhidmatan, menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum ditetapkan dan menaikkan harga atau mengambil untung secara tidak munasabah.
“Dalam tempoh sama, KPDN Johor turut merekodkan 360 kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, 119 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan 66 kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Kita turut mengesan kesalahan 54 kesalahan lain di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Sewa Beli 1967,” katanya pada Program Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di NSK Trade City, Skudai di sini hari ini.
Lilis Saslinda berkata, daripada 1,537 pemeriksaan di peringkat pemborong dan peruncit sepanjang pelaksanaan SHMMP bagi perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Puasa 2026, sebanyak 879 kesalahan dikesan .
Menurutnya, kesalahan paling banyak dikesan ialah kegagalan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal.
“Sehubungan itu, KPDN Johor menyeru peniaga mematuhi empat kewajipan utama sepanjang pelaksanaan SHMMP ini, iaitu tidak menjual barang kawalan melebihi harga maksimum, meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal, memastikan bekalan barang mencukupi di pasaran serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditujukan,” katanya.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, selain pelaksanaan SHMMP Deepavali, KPDN Johor turut meneruskan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Outdoor sempena perayaan berkenaan di lokasi terpilih.
Program itu bermula hari ini di Target Supermarket Yong Peng, Batu Pahat, manakala Dewan Serbaguna Benut, Pontian, Pusat Transformasi dan Pelancongan Kota Tinggi serta Padang IOI Mall Kulai pada 7 dan 8 November ini. -UTUSAN











