Kali ketiga buat konsert di Malaysia, Rizky Febian masih gementar - Utusan Malaysia

Kali ketiga buat konsert di Malaysia, Rizky Febian masih gementar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah dua kali mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi Indonesia, Rizky Febian mengakui masih berasa gementar menjelang persembahan ketiganya di konsert Malam Rawan Diorama, pada 29 November ini.

Menurut Rizky, dia mahu memberikan pengalaman berbeza kepada peminat, sekali gus memastikan konsert kali ini lebih istimewa berbanding persembahan terdahulu.

“Sampai sekarang saya masih gementar, malah ketika berhadapan dengan ramai orang pun saya berasa begitu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, kebimbangan saya lebih kepada perasaan belum berpuas hati dengan dua persembahan sebelum ini kerana saya merasakan ketika itu kami hanya datang untuk membuat persembahan seperti biasa.

“Jadi, apabila pihak penganjur menawarkan konsert ini, saya terus memberitahu mereka bahawa saya tidak mahu sekadar datang dan menyanyi tanpa membawa sesuatu yang istimewa,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Kesempurnaan Cinta tersebut juga mahu memastikan setiap persembahannya di Malaysia meninggalkan kesan mendalam kepada peminat, khususnya mereka yang mengikuti perjalanan kerjayanya sejak awal.

“Saya mahu setiap kali datang ke Kuala Lumpur, ada sesuatu yang meninggalkan kesan kepada penonton.

“Saya mahukan konsep yang benar-benar dirancang dengan teliti. Saya mahu orang datang bukan semata-mata untuk melihat Rizky Febian, tetapi turut bernostalgia menerusi lagu-lagu saya.

“Ada dalam kalangan mereka yang mungkin sudah menyokong saya sejak sebelum saya bergelar penyanyi. Jadi, saya mahu setiap persembahan mempunyai ceritanya tersendiri,” jelasnya.

Sementara itu, suami kepada penyanyi Mahalini Raharja itu tidak menafikan Malaysia merupakan antara pasaran terbesar bagi karya muziknya.

“Tidak boleh dinafikan, pasaran muzik saya di Malaysia sangat besar. Setiap kali saya melancarkan lagu atau menghasilkan karya baharu, biasanya peminat di Kuala Lumpur antara yang paling awal memberikan perhatian.

“Malah, ada lagu lama saya yang tiba-tiba kembali tular selepas saya pulang daripada mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Saya sangat bersyukur kerana antara sebab saya mampu berada pada tahap sekarang adalah kerana sokongan peminat Malaysia.

“Peminat di Malaysia memang sangat hebat dan setia. Walaupun saya hanya datang setahun sekali atau selepas beberapa tahun, mereka tetap memberikan sokongan yang sangat kuat.

“Mereka sentiasa menghantar mesej peribadi dan bertanya kepada pihak pengurusan bilakah saya akan kembali ke Kuala Lumpur. Sebab itu, walaupun datang ke sini sekadar bercuti, saya akan cuba meluangkan masa untuk berjumpa dengan mereka,” ujarnya.

Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, konsert istimewa yang bakal diadakan secara intim buat peminatnya itu turut menampilkan penyanyi undangan, Nadhif Basalamah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini