MELAKA: Kehadiran calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Rim semalam, hanya untuk meninjau proses pengundian pos yang berlangsung.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tiada sebarang unsur menggunakan premis dan jentera kerajaan untuk tujuan berkempen seperti didakwa Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pada masa sama, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut menggunakan lokasi sama untuk majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali.
“Jadi saya mendapat maklumat bahawa semalam ialah hari undian pos. YB (Yang Berhormat) Dira datang melawat kawasan mengundi mereka dan tidak ada kena-mengena pun dengan YB Dira (berkempen di situ).
“Saya melihat perkara ini daripada sudut pandang yang berbeza kerana saya difahamkan dewan Japerun itu merupakan lokasi yang sebelum ini digunakan oleh MPJ untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat kaum India,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu di sini hari ini.
Semalam, PH membuat laporan polis terhadap Khaidirah atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan polis terhadap penyandang kerusi itu dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Aishah berkata, Khaidirah didakwa melakukan perbuatan itu semasa hadir pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali dan segala bukti bergambar serta rakaman berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada polis.
Ab. Rauf menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat tuduhan itu.
“Terpulang kepada kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menilai keberadaan Dira di kawasan berkenaan,” katanya. -UTUSAN











