PUTRAJAYA: Fasiliti Community-Based Eco Recycling Hub (COB3R) di Presint 9 di sini dijadikan projek perintis bagi menilai keberkesanan pendekatan kitar semula berasaskan komuniti sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur dan Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keberkesanan fasiliti itu akan dinilai terlebih dahulu bagi mengenal pasti penambahbaikan sebelum pelaksanaannya diperluaskan ke kawasan lain.
Menurutnya, amalan kitar semula perlu dijadikan sebahagian daripada rutin harian masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada kempen meningkatkan kesedaran.
“Kita tidak mempunyai banyak masa untuk sekadar meningkatkan kesedaran kerana cabaran perubahan iklim semakin mendesak. Kesedaran perlu diterjemahkan kepada tindakan,” katanya selepas merasmikan Bulan Kitar Semula dan Fasiliti Kitar Semula Berasaskan Komuniti (COB3R), di sini, hari ini.
Fasiliti berkeluasan 232 meter persegi yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM900,000 itu bukan sekadar menyediakan kemudahan mengumpul bahan kitar semula, malah berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan aktiviti komuniti.
Hannah berkata, pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat turut memberi kesan kepada kos ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus memerlukan penglibatan penduduk bagi mengurangkan jumlah sampah yang dibuang.
Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa kos pengurusan sampah dari kawasan kediaman mereka tetap ditanggung melalui perbelanjaan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengoperasian COB3R Fasa 1 akan digerakkan komuniti setempat, khususnya golongan warga emas, pesara kerajaan dan suri rumah.
Katanya, PPj akan bertindak sebagai penyelaras dan pemantau, manakala Alam Flora menyediakan sokongan dalam pengurusan bahan kitar semula.
Menurutnya, penempatan fasiliti itu dalam kawasan komuniti memudahkan penduduk menghantar bahan kitar semula tanpa perlu pergi ke lokasi yang jauh.
Bagaimanapun, operasi pusat berkenaan perlu dipantau bagi memastikan kemudahan itu tidak disalahgunakan sebagai tempat pembuangan sampah.
Sehubungan itu, penglibatan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bersama PPj penting bagi memastikan fasiliti berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya, selain mendidik masyarakat mengenai pengasingan dan pengurusan bahan kitar semula. – UTUSAN











