Cadangan tabung khas pemulihan alam sekitar pasca jerebu diteliti

Cadangan tabung khas pemulihan alam sekitar pasca jerebu diteliti

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mempertimbangkan penubuhan tabung khas pemulihan alam sekitar pasca jerebu termasuk meneliti keperluan dan mekanisme pembiayaan yang bersesuaian.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penelitian lanjut akan dibuat bersama kementerian dan agensi berkaitan dengan mengambil kira mekanisme bantuan sedia ada, keperluan sebenar serta implikasi kewangan kepada kerajaan.

Katanya, pembiayaan berkaitan jerebu tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pemulihan kawasan terjejas selepas kejadian, sebaliknya perlu meliputi keseluruhan kitaran pengurusan risiko.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara itu merangkumi usaha pencegahan, penggunaan teknologi pemantauan, pengurusan tanah gambut, pemadaman awal, penyelidikan dan pemulihan kawasan terjejas.

“Kerajaan bersedia meneliti keperluan dan mekanisme pembiayaan bersesuaian. Perkara ini memerlukan penelitian lanjut bersama kementerian dan agensi berkaitan.

“Kerajaan berpandangan mekanisme pembiayaan berkaitan jerebu tidak seharusnya tertumpu kepada pemulihan selepas kejadian sahaja, tetapi turut boleh menyokong keseluruhan kitaran pengurusan risiko,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai pelan kesiapsiagaan jangka panjang negara menghadapi risiko jerebu rentas sempadan serta cadangan penubuhan tabung khas pemulihan alam sekitar pasca jerebu.

Mengulas usaha di peringkat serantau, Arthur berkata, Malaysia turut menyokong pengukuhan Tabung Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN (ASEAN Haze Fund) termasuk usaha memperluas sumber sumbangan dan skop penggunaannya.

Katanya, dana berkenaan boleh dimanfaatkan untuk penyelidikan saintifik, pengukuhan kapasiti, inovasi pencegahan dan pemadaman kebakaran serta diplomasi sains.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan menerusi 68 stesen pengawasan kualiti udara automatik di seluruh negara bagi memperkukuh sistem amaran awal pencemaran udara di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata, stesen berkenaan mengukur kepekatan bahan pencemar udara bagi membolehkan Indeks Pencemar Udara (IPU) dipantau dan dilaporkan secara berterusan, sekali gus membantu mengesan peningkatan pencemaran lebih awal.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut menyediakan maklumat menerusi Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS) bagi Malaysia dan rantau ASEAN untuk menilai serta memantau risiko kebakaran hutan dan tanah gambut berdasarkan keadaan cuaca serta faktor persekitaran.

“Sistem ini menyediakan ramalan risiko kebakaran sehingga tujuh hari ke hadapan bagi membantu agensi berkaitan mengenal pasti kawasan berpotensi mengalami kebakaran dan melaksanakan langkah kesiapsiagaan serta pencegahan awal.

“MET Malaysia turut membangunkan dan melancarkan Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia (MyCMAQ) pada 31 Mac lalu.

“Ini bagi menyediakan ramalan berkala beresolusi tinggi mengenai keadaan kualiti udara dan kepekatan bahan pencemar atmosfera di Malaysia serta rantau Asia Tenggara,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan ketiga-tiga sistem berkenaan secara bersepadu membolehkan kerajaan memantau perubahan kualiti udara semasa, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi mengalami kebakaran serta menjangka kemungkinan pencemaran jerebu lebih awal.

“Maklumat itu turut menjadi asas kepada penyelarasan tindakan pencegahan, pemantauan lapangan, penguatkuasaan dan hebahan nasihat kesihatan kepada orang ramai khususnya di kawasan berisiko terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini