PETALING JAYA: Kejohanan golf amatir berprestij, Bridgestone ASEAN Amateur Open (BAAO) melakar sejarah tersendiri apabila menyambut ulang tahun ke-10 penganjurannya menerusi saingan Pusingan Akhir Grand Final di Tropicana Golf & Country Resort.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Prestige Golf Sdn. Bhd. itu menghimpunkan seramai 100 pemain golf amatir pada peringkat akhir, selepas mengharungi siri kelayakan sengit yang menarik penyertaan seramai 1,200 peserta dari Malaysia dan Singapura.
Pengarah Pembangunan Bisnes Prestige Golf Sdn. Bhd., Kirthyiban Nair berkata, kejayaan edisi ulang tahun ke-10 itu membuktikan komitmen syarikat dalam membina nilai yang melangkaui batas sesebuah kejohanan.
“Menerusi kerjasama dengan Bridgestone, kami mewujudkan peluang berterusan untuk mendekatkan jenama itu kepada golfer, memperkukuh penglibatan produk dan membina hubungan jangka panjang merentasi pelbagai pasaran.
“Memasuki dekad seterusnya, tumpuan kami adalah memperluas jejak serantau kejohanan, meningkatkan pengalaman golfer dan terus memperkukuh kedudukan Bridgestone Golf dalam komuniti golf amatur di Asia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh sedekad, kejohanan itu berkembang menjadi platform serantau yang menghubungkan golfer amatur, jenama antarabangsa dan industri golf.
Selain aspek pertandingan, BAAO turut menjadi platform strategik bagi Bridgestone Golf mempertingkat hubungan dengan golfer amatur melalui paparan jenama, pendedahan produk dan interaksi secara langsung.
Dengan pengalaman melebihi 32 tahun dalam industri golf, Prestige Golf berhasrat untuk terus memperluaskan jejak langkah ke pasaran baharu pada dekad seterusnya, di samping memperkasakan komuniti golf amatir yang lebih bersatu di rantau Asia.
Penganjuran edisi ulang tahun ke-10 itu turut disokong oleh barisan rakan penaja strategik antaranya Bridgestone Tyres, Bridgestone Golf, Bermaz Auto (Mazda), ATG Watch, Fella Design, The VIP Tamarin, F&N, Golf Malaysia, APP Global Logistics, Trinidad Hospitality, RX Racing, Rev Runner, Telegreen serta Tropicana Golf & Country Resort. – UTUSAN











