KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau menangguhkan pelaksanaan pengampunan diraja yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib berkata, pihaknya mendesak Ketua Pengarah Penjara menyegerakan proses pembebasan anak guamnya bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah selepas semua syarat ditetapkan iaitu bayaran denda RM50 juta telah dipenuhi.
Katanya, sekiranya AGC mempunyai sebarang persoalan berhubung perintah Mahkamah Tinggi, perkara itu sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk diputuskan dan bukannya dijadikan alasan untuk terus menahan Najib di Penjara Kajang.
“Kami menggesa Ketua Pengarah Penjara menyelesaikan proses pembebasan anak guam kami ke tahanan rumah tanpa berlengah, manakala Peguam Negara perlu menarik balik kenyataan AGC itu serta-merta.
“Sekiranya AGC masih mempunyai sebarang persoalan berhubung perintah Mahkamah Tinggi, perkara itu perlu dibawa ke mahkamah untuk diputuskan dan kami akan menjawabnya di sana.
“AGC tidak boleh terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang sementara menunggu perkara itu diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua syarat yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sudah dipenuhi, termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Katanya, denda berkenaan dibayar sepenuhnya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebelum mahkamah mengeluarkan perintah bermeterai kepada pegawai yang menjaga Penjara Kajang bagi membenarkan Najib dilepaskan serta-merta berhubung perintah denda itu.
Jelasnya, pengampunan yang diperkenankan pada 18 September 2026 itu secara jelas menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah di kediamannya, tertakluk kepada pembayaran denda berkenaan.
“Siaran medianya menyatakan bahawa anak guam
kami akan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada
pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
“Siaran itu tidak membangkitkan apa-apa
persoalan interpretasi.
“Perlu ditegaskan bahawa frasa yang kini dikatakan oleh AGC menimbulkan ‘persoalan perundangan’ itu ialah perkataan Kerajaan sendiri, sebagaimana yang disiarkan dalam pengumuman tersebut.
“Selama tujuh minggu, AGC tidak
membangkitkan sebarang persoalan tentang perkataan itu sehinggalah denda dibayar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, kediaman Najib di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini diisytiharkan sebagai penjara menerusi pewartaan kerajaan hari ini.
Ujarnya, pengisytiharan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 itu menjadikan kediaman berkenaan sebuah penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan individu yang berada dalam tahanan sah.
“Pemindahan Najib ke kediaman berkenaan tidak bermaksud bekas Perdana Menteri itu terkeluar daripada tahanan yang sah, sebaliknya hanya melibatkan pemindahan dari sebuah penjara ke penjara lain.
“Sekiranya AGC mempunyai persoalan berhubung kesan undang-undang pengampunan itu, saluran sewajarnya adalah dengan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi dan bukannya mengeluarkan kenyataan media,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib tidak mengubah kewajipan AGC untuk melaksanakan pengampunan dalam kes SRC International.
Katanya, kedudukan anak guamnya berhubung kesan undang-undang pengampunan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya dalam kes berkenaan adalah terpelihara.- UTUSAN











